Saturday 27 August 2011

Siri 1 - Laporan Lawatan MPP Siswazah ke FSSK dan FPEND

0 comments
FSSK

Sesi dialog dengan pihak Urusetia Pengajian Siswazah FSSK telah diadakan pada 13 Julai 2011. Dialog tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Dekan FSSK. 

Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan. antara pertukaran maklumat antara PMUKM dengan Urusetia Pengajian Siswazah FSSK.Memandangkan ini adalah pertemuan pertama MPP Siswazah ke setiap-setiap fakulti, kebanyakan pertemuan lebih tertumpu kepada perkenalan dan jalinan kerjasama bersama.



Pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Dekan siswazah dan antarabngsa FSSK, Prof. Dr. Zulkifley Hamid. Ketika ditanyakan berkaitan syarat untuk pelajar yang bukan berlatar belakangkan pengajian sains sosial (seperti FST, FPI dan lain-lain) untuk menyambung pengajian Sarjana atau PhD di FSSK, beliau mengatakan pelajar tersebut perlu menghadiri kursus pra-syarat siswazah yang memakan masa selama setahun. 

Beliau menerangkan juga bahawa pelajar siswazah hanya perlu menerbitkan kajian mereka dalam mana-mana  jurnal berwasit dan prosiding. Hal ini sudah mencukupi. Jika ia diterbitkan oleh ISI, ia adalah suatu bonus.

MPP Siswazah yang mewakili PMUKM juga turut menyatakan komitmen untuk membantu dengan kemampuan yang ada terhadap perkara-perkara yang membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat siswazah FSSK.

Pertemuan tersebut diakhiri dengan sedikit penyampaian cenderamata oleh MPP Siswazah kepada beliau. Sambil menyifatkan ini adalah pertemuan pertama komuniti siswazah selain FSSK ke Urusetia Pengajiain Siswazah FSSK, beliau mengucapkan terima kasih kepada MPP Siswazah kerana mengambil inisiatif dalam penganjuran siri-siri dialog ke fakulti-fakulti UKM.

FPEND

Sesi dialog MPP Siswazah UKM dengan Urusetia Pengajian Siswazah dan komuniti Siswazah FPEND telah berlangsung pada 21 Julai 2011, bertempat di Bilik Mesyuarat Dekan FPEND.

Turut hadir dalam pdialog tersebut adalah En. Shah Nizam Shahar dan Puan Anizam Mohamed Yusof, masing-masing sebagai Pengerusi dan Setiausaha Kelab Siswazah FPEND. 

Dalam pertemuan tersebut, pihak MPP Siswazah telah mendapat banyak info tentang aktiviti siswazah FPEND. Secara umum, aktiviti Kelab siswazah FPEND tidak terhad kepada berasaskan akademik sahaja, tetpai melibatkan juga khidmat masyarakat dan hubungan dengan alumni siswazah FPEND.



Selepas menyampaikan sedikit cenderamata kepada pihak Uruseti Pengajian Siswazah FPEND, MPP Siswazah dibawa melawat boleh aktiviti komuniti Siswazah FPEND.

Agak menarik apabila komuniti siswazah FPEND mempunyai bilik aktiviti yang kondusif dan besar. Bilik tersebut menjadi pusat aktiviti siswazah FEPND, bermula dari menelaah penlajaran sehingga kepada aktiviti santai.

Bersambung.... FKAB, FST dan FEP

Thursday 25 August 2011

Mahasiswa, Ramadhan dan Kemerdekaan

0 comments

Assalamualaikum wbt…

Dalam sedar atau tidak, beberapa hari lagi bulan Ramadhan yang mulia bakal meninggalkan umat Islam manakala Syawal pula akan menjengahkan diri.

“Taqaballahuminnawaminkum” diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat tidak kira walau di mana jua berada sempena Syawal yang bakal berkunjung tidak lama lagi. Semoga universiti Ramadhan yang dilalui pada kali ini berjaya mendidik umat Islam terutamanya golongan anak muda ke arah melahirkan generasi negarawan sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

Harapan ini disandarkan ke atas golongan anak muda kerana merekamerupakan aset penting negara dan umat. Kelebihan yang dimiliki anak muda jarang sekali ditemui dalam diri golongan tua.  Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda pemudi ialah usia  yang penuh dengan cita-cita yang tinggi, usia  yang mengalir darah yang gemuruh, usia yang tinggi idealisme yang luas, usia yang memberi pengorbanan dan usia yang menabur jasa. Penulisan ini akan cuba memberikan beberapa perspektif berkaitan anak muda, Ramadhan dan makna kemerdekaan.

Anak muda: Harapan Negara dan Umat

Ramadhan merupakan bulan di mana setiap hamba diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Bulan ini merupakan bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan berkat daripada Allah S.W.TPermulaannya adalah rahmat, pertengahannya merupakan pengampunan dan di pengakhirannya adalah pembebasan dari api neraka. Wujudnya ketiga-tiga fasa ini adalah bagi menghasilkan suatu sistem penjanaan akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil.  Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa”.
(Al-Baqarah, 2:185).

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kami. Mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

(Al-Baqarah:183)

Jelas di sini bahawa Ramadhan merupakan madrasah tarbiyyah yang mampu menjadi medan transformasi iaitu suatu medium untuk melakukan perubahan diri kepada menjadi seorang hamba yang dekat dengan Allah. Sesungguhnya Allah telah menciptakan bulan Ramadhan ini sebagai suatu persinggahan kepada kita sebelum meneruskan perjalanan yang panjang. Di persinggahan inilah tempat bagi kita mengutip bekalan-bekalan rohani bagi memperoleh ijazah taqwa dari sisiNya.

Sesungguhnya taqwa itu tidak akan hadir melainkan dengan usaha dan semaian hidayah daripadaNya. Hati yang mendapat hidayah akan membantu seluruh anggota tubuh untuk melakukan kebaikan. Dengan hadirnya hidayah, kaki akan digerakkan ke tempat yang baik, lidah akan digerakkan untuk menuturkan kalimah-kalimah Allah, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitu juga anggota badan yang lain.

Oleh itu, untuk tingkatan taqwa ini, niat dan keikhlasan hati mesti diperbetulkan dengan menundukkan hati hanya kepada Allah s.w.t. di samping hanya mengharapkan pahala dan keredhaan daripadaNya. Berpaksikan keikhlasan di hati, kita mampu meningkatkan kuantiti ibadah dan kualiti akhlak yang lebih terarah dalam membezakan sesuatu yang hak dan batil. Justeru, seluruh mahasiswa/I UKM yang beragama Islam seharusnya sedar bahawa bulan Ramadhan merupakan suatu madrasah terbiyyah yang terbaik dalam membentuk generasi intelektual yang berkeperibadian unggul, dihiasi pula dengan akhlak-akhlak yang terpuji. Anak muda harus mengambil kesempatan yang terdapat dalam bulan mulia ini untuk menguatkan jiwa mereka sebelum turun menyantuni masyarakat dan memimpin perubahan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”

 (H.R  Bukhari).

Ia jelas terbukti kepada warga mahasiswa untuk menjadikan Ramadhan 1432H kali ini sebagai suatu madrasah untuk melatih diri, membentuk peribadi diri yang bersifat ikhlas dan sabar dalam apa jua situasi dan keadaan, disamping melatih rohani dan jasmani kita. pengaplikasian ilmu yang disulami dengan benih keimanan diri serta paduan amalan yang dilakukan, secara tidak langsung dapat merealisasikan falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal ini sejajar dengan Falsafah UKM itu sendiri yang menyebut: “Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.”

Ramadhan dan Kemerdekaan

Apa yang menarik pada kali ini adalah Ramadhan disambut serentak dalam bulan Kemerdekaan. Keserentakan ini barangkali boleh memberi makna yang tersendiri jika ‘substance’ Ramadhan itu dikaitkan dengan pengisian dan makna sebenar kemerdekaan. Fasa terakhir Ramadhan itu sendiri adalah fasa ‘kemerdekaan’, jika diisi dengan pengisian ketakwaan yang bersungguh-sungguh. Sebahagian dari penghayatan takwa itu terdapat dalam tindakan diri yang bermanfaat, menjauhi perkara sia-sia dan memelihara diri dari perkara yang tercela. Sudah tentu dalam maksud tersebut ia menggambarkan manifestasi insan kamil yang merdeka dari azab Tuhan. Azab Tuhan yang mana akan menimpa jika dia berbuat sesuatu yang menyalahi fitrah manusia.

Erti sebenar kemerdekaan

Dalam kamus dewan online, perkataan ’merdéka’ bermaksud  “bebas (daripada penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain”. Kebebasan tersebut haruslah difahami dalam konteks yang luas, bermakna dan holistik kerana penjajahan itu tidak sekadar bersifat fizikal saja, tetapi meliputi aspek minda, akhlak, tingkah laku dan cara fikir.  Abu A`lla al-Maududi, seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India di kala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan telah  menyatakan: “Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah namun masih kekal Inggeris berkulit sawo matang”. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada entiti yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Tuhan dan segala tindakannya berpandukan kebenaran yang tercatat dalam lembaran wahyu.

Kemerdekaan tiada erti jika laungan 'MERDEKA!' dirantai dengan kebejatan sikap 


Menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan diri; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

Kata-kata Rubaie  bin Amir kepada panglima tentera Rom barangkali boleh menggambarkan hakikat kemerdekaan yang hakiki:

“Allah mengutuskan kami untuk kami keluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”

Dalam hal ini, kita harus jelas bahawa kemerdekaan hakiki adalah kemerdekaan yang meliputi aspek pandangan hidup, cara fikir dan kemajuan spiritual dan material. Adalah sangat mustahak bahawa kita bukan saja harus memahami erti sebenar kemerdekaan, bahkan menghayati maksud tersebut dengan melaksanakan kefahaman tersebut dalam setiap cabang kehidupan. Cuma dalam pemerhatian ringkas sebelum ini, penghayatan kemerdekaan, pada pandangan umum, hanya dibuktikan dengan kibaran jalur gemilang atau sekadar penganjuran program-program yang bersifat ‘kulit’ seperti pertandingan nyanyian lagu patriotik dan pertandingan mewarna. Hal ini tidak bermaksud ia adalah salah, tetapi perlu ada usaha untuk memastikan penghayatan erti kemerdekaan sebenar itu tersemat dan diinsafi oleh seluruh lapisan masyarakat, seandainya kita serius terhadap kemandirian negara. Perlu ada penerapan yang bersifat ‘substantial’. Dalam beberapa perkara, barangkali kita boleh bersikap pragmatik, tetapi dalam beberapa perkara pula, terutama yang melibatkan jati diri dan sistem nilai, ia harus dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Pemahaman makna kemerdekaan yang tidak tepat akan memberi impak negatif terhadap cara pandang mahasiswa terhadap alam. Natijahnya ia akan mempengaruhi pula cara berfikir dan sistem nilai mereka. Akhirnya mahasiswa akan melihat bahawa mereka hanya berperanan sebagai pemenuh ruang-ruang pekerjaan tanpa memikirkan peranan asasi mereka sebagai pembimbing dan pencetus kesedaran masyarakat. Lebih parah dari itu, mereka tenggelam dalam lautan keseronokan sementara dan hanyut dibawa arus deras individualistik. Mereka mungkin menjadi guru, tetapi tidak memiliki jiwa pembimbing. Ya, mereka mungkin mengajar, tetapi tidak mendidik. Mereka mungkin menjadi doktor, tetapi sekadar memenuhi syif-syif wajib sahaja. Mereka mungkin menjadi saintis, tetapi mereka terperangkap dalam kekeliruan menghubungkaitkan penemuan mereka dengan kekuasaan Tuhan. Begitulah rantaian tersebut berlaku. Sungguh, ini adalah satu tragedi malang buat mereka.

Pengisian kemerdekaan perlu dilihat sebagai suatu amanah dan tanggungjawab

Atas kesedaran itu, mahasiswa harus menilai semula makna sebenar kemerdekaan. Penilaian semula ini penting agar mereka dapat berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan pengisian kemerdekaan yang sebenar. Hal ini dapat dicapai sekiranya mereka bersikap jujur dan holistik dalam mencapai maksud tersebut. Kepimpinan mahasiswa perlu berganding bahu dengan mahasiswa yang berkesedaran dan para intelektual dalam menanamkan kefahaman tersebut dalam kalangan warga kampus. Selepas itu, ia perlu dipasakkan pula dalam hati nurani rakyat.

Cabaran: Kembali Mengukuhkan Perkara Asas

Dalam usaha tersebut, dua perkara penting perlu diberi perhatian. Pertama, mahasiswa harus menggali semula lembaran wahyu yang membimbing kepada kebenaran. Dari situ, mereka dapat ‘setting’ semula cara pandang terhadap persekitaran mereka. Perkara ini tidak harus dipandang sebagai langkah yang sangat konservatif. Binaan yang kukuh terbina hasil asas yang kuat. Binaan yang rapuh terbina daripada asas yang lemah. Tidak keterlaluan dikatakan ia mampu menemukan jawapan terhadap siri-siri pembangunan mahasiswa yang progresif dan menyeluruh.. Barangkali ada yang skeptik dan sinis, tetapi tidak salah untuk bersikap optimis dalam hal ini.


Dilihat ganjil, tetapi peranannya ditagih?

Selepas itu, mahasiswa harus bersikap pro-aktif dalam mengintegrasikan idea, penemuan terkini, dan tatacara terbaru dengan sistem nilai mereka. Hal ini bermaksud sistem nilai mereka dibentuk daripada penghayatan terhadap nilai-nilai kebenaran dalam lembaran wahyu tersebut. Ia akan menghasilkan perimbangan antara sikap pragmatik terhadap perkembangan pesat material dan pemikiran dengan keperluan untuk berdiri teguh dalam jalan kebenaran. Ya, kita bergerak dengan cara kita dan kita meyakini cara tersebut mampu memberikan pulangan jangka panjang yang berharga dan tidak meruntuhkan binaan lain yang terbina sekian lama. Fasa ini adalah fasa yang sangat kritikal.

Peranan kita sangat ditagih, wahai mahasiswa!

Dalam konteks yang lebih luas, universiti-universiti yang wujud kini perlu menginsafi peranan sebenar mereka dalam kerangka yang seimbang. Tidak salah untuk mengejar status universiti terkemuka dunia, tetapi ia tidak harus mengorbankan khazanah dan prinsip-prinsip kebaikan yang ada sejak sekian lama. Adalah menyedihkan jika para pensyarah berlumba-lumba untuk menempatkan nama mereka dalam jurnal-jurnal terkemuka, tetapi mereka tidak mendapat apa-apa ‘markah’ jika menulis buku yang mampu mencerahkan bangsa. Hal ini tidak bermaksud kita harus menolak mentah-mentah hasil kemajuan yang sedia ada, tetapi persoalan “Ke mana kita harus pergi dan mengapa itu tujuannya” harus dijawab dengan jujur oleh pembuat dasar yang berkaitan. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Inilah yang dibimbangi terhadap sistem pendidikan tinggi negara. Jika ini berlaku apakah ini manifestasi terhadap erti kemerdekaan yang sebenar?

Ringkasnya, penghayatan untuk memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar adalah suatu keperluan kepada mahasiswa. Dalam arus materialistik yang semakin ganas ini, ayuh kita jadikan laungan ‘merdeka’ sebagai permulaan bermakna menuju kepada erti dan penghayatan kemerdekaan yang hakiki! 



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Tuesday 23 August 2011

[GALERI] Lawatan MPP Siswazah UKM ke Urusetia Pengurusan Siswazah FSSK, FKAB dan FPEND

0 comments
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Timbalan Dekan Siswazah dan Antarabangsa FSSK,  Prof. Dr. Zulkifley Hamid



Mendengar penjelasan dari beliau

Menyampaikan cenderamata


 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Timbalan Dekan Siswazah dan Antabangsa FKAB, Prof. Dr. Azah Mohamed

Sesi dialog turut disertai oleh komuniti siswazah FKAB


Pengerusi Komuniti Siswazah FKAB, Sdra Redwan dari Palestin


Sesi bertukar cenderamata

 Fakulti Pendidikan
Bersama Timbalan Dekan Siswazah FPEND Prof. Madya Dr. Norazah Mohd Nordin dan wakil Persatuan Siswazah FPEND

Sekalung penghargaan kepada Urusetia Siswazah FPEND


Bersama warga siswazah FPEND

Monday 22 August 2011

PENYELARASAN YURAN KOLEJ: ULASAN DAN SIKAP PMUKM

0 comments

(Dipetik dari blog PMUKM 2010/2011) Beberapa perkara yang berkaitan penyelarasan yuran kolej telah menimbulkan polemik di kalangan warga UKM.

Pada masa ini, penyelarasan tersebut tidak berlaku memandangkan cadangan tersebut tidak diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti. Jadi, harga yuran kolej kediaman akan tetap pada harga sebelum ini, iaitu RM 2.50/hari (bagi asrama, pra siswazah, kecuali KKM dan KPZ)

Kekeliruan tentang pertambahan jumlah yuran kolej dalam akaun pelajar, iaitu RM 650 atau RM 770 boleh dijelaskan seperti di bawah:

1.   i.    Nilai dalam akaun tersebut adalah nilai cadangan sekiranya cadangan penyelarasan harga kolej diluluskan oleh mesyuarat LPU.
2. ii.  Pertambahan nilai dalam akaun tersebut telah berlaku sejak minggu lepas. Keputusan rasmi LPU berkaitan cadangan penyelarasan harga kolej hanya diketahui pada minggu ini. Secara ringkas, seolah-olah berlaku ‘redundancy’ dalam urusan tersebut. Dalam hal ini, ia  berkisar kepada masalah komunikasi dan teknikal.
3.   iii.  Pihak Bendahari memberi jaminan bahawa nilai tersebut akan turun semula seperti nilai asal.

Penyelarasan ini, sekiranya berlaku, akan memberi impak positif dan negatif seperti yang dinyatakan di bawah:

Impak positif

1.  -   Harga yuran kolej pelajar siswazah adalah sama dengan pelajar pra siswazah, iaitu RM 3.50/hari (asrama) dan RM 4.50/hari (pangsarama)
2.  -    Pelajar KKM dan KPZ akan menikmati penurunan harga kolej kepada harga yang sama dengan penghuni kolej lain.


Impak negatif

1.  -    Penghuni kolej lain (pra siswazah) selain akan KKM dan KPZ akan mengalami kenaikan harga kepada RM 3.50/hari (asrama)


Maklumat tentang harga sebenar yuran penginapan kolej (Kampus Bangi) dan bagaimana ia ditolak dari akaun pelajar boleh diketahui berdasarkan jadual dan huraian di bawah:

Kolej
Jenis penginapan
Harga/hari
Tempoh penginapan
Yuran elektrik  (RM)
Bayaran wi-fi (RM)
Jumlah(RM)
Kampus Bangi (Selain KIZ, KKM & KPZ)
Asrama
2.50
18 minggu
25
45
485
Flatlet
3.70
18 minggu
25
45
636
KIZ
2 orang/bilik
3.00
18 minggu
25
45
548
Seorang/bilik
5.00
18 minggu
25
45
800
KKM & KPZ
2 orang/bilik
4.50
18 minggu
25
45
737
seorang/bilik
5.00
18 minggu
25
45
800
(Sumber: Jabatan Bendahari UKM)

Pada waktu ini (selepas dibetulkan semula oleh Bendahari dan PTM), walaupun seseorang pelajar mungkin menginap di bilik yang berbeza, yuran keseluruhan kolej pelajar DALAM AKAUN adalah RM 485 (asrama, selain KPZ dan KKM) manakala yuran keseluruhan kolej pelajar DALAM AKAUN untuk KKM dan KPZ adalah RM 737. Kedua-dua jumlah tersebut akan ditolak secara‘lump sum’ dari akaun mereka. Dalam erti kata lain, pelajar yang menginap di flatlet atau bilik seorang akan mendapati jumlah yang ditolak dalam akaun mereka hanyalah RM 485 atau RM 737 dan baki tersebut (RM 151 atau RM 63) perlu dibayar secara manual oleh pelajar tersebut.

                Walau bagaimanapun, nilai yuran penginapan kolej di KTSN dan KTDI berbeza berdasarkan jenis bilik yang dihuni. Apa yang pasti, ia mengikut harga asal dan berjumlah RM 485 (KTSN) dan RM 786 (KTDI, jika waktu pengajian adalah 22 minggu).

Berdasarkan fakta di atas, PMUKM berpandangan:

1.                   Dalam hal yang berkaitan pelajar, pentadbiran universiti harus bersikap terbuka dan membuka ruang perbincangan yang bermakna dengan PMUKM. Hal ini selari dengan perakuan Naib Canselor bahawa golongan pelajar adalah aset yang paling berharga bagi universiti. Sejajar dengan amanah dipikul oleh PMUKM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa UKM, semua pihak harus bersikap terbuka dan matang. Kepimpinan mahasiswa tidak harus ‘dipukul ratakan’ seperti kepimpinan sekolah. Bahkan golongan ini perlu diraikan peranan dan kehadiran mereka dalam perbincangan-perbincangan universiti berkaitan polisi, perlaksanaan visi dan misi UKM serta kebajikan mahasiswa. Adalah malang sekiranya kepimpinan mahasiswa dianggap oleh sesetengah pihak sekadar pelaksana program (AJK teknikal? Hihi) saja, tanpa menyedari potensi besar yang ada.

2.                   PMUKM menerima dengan baik keputusan LPU. Hal ini tidak bermaksud PMUKM tidak memperjuangkan penurunan harga kolej untuk penghuni siswazah, KKM dan KPZ. Secara ideal, harga penginapan kolej selain KKM & KPZ yang sedia ada  dan penurunan harga yuran penginapan di KKM dan KPZ beserta pelajar siswazah tempatan adalah yang terbaik.

3.                   PMUKM komited untuk memperjuangkan penurunan harga kolej untuk pelajar siswazah tempatan dan penghuni KKM dan KPZ. KKM sekarang telah dihakmiliki oleh UKM. Seharusnya, secara kasar, yuran kolej KKM boleh diturunkan. Pada masa yang sama, PMUKM menyatakan kerbersamaan dengan pentadbiran universiti untuk mengambil alih KPZ demi kebaikan mahasiswa UKM

4.          Sesetengah kolej (sila baca: KKM dan KPZ) mengalami kadar yuran penginapan kolej yang lebih tinggi.Perkara ini bukanlah diminta sendiri oleh mereka, tetapi atas beberapa faktor yang lebih diketahui pada peringkat pentadbiran univerisiti, menyebabkan ada sebahagian mahasiswa terpaksa menanggung beban yang lebih berbanding mahasiswa lain. Adalah sesuatu yang terpuji sekiranya semua mahasiswa berkongsi kesenangan dan kesusahan, jika ada, secara kolektif.

5.                   Perjuangan PMUKM untuk menurunkan harga penginapan kolej KKM dan KPZ perlu disokong secara kolektif oleh JAKSA, PMF dan persatuan-persatuan lain. Ura-ura ini telah bertahun-tahun tersebar, sedangkan PMUKM baru 6 bulan memegang tampuk kepimpinan. Sudah tentu ada beberapa perkara yang berkaitan telah berlaku sebelum kepimpinan PMUKM diangkat pada Mac lepas. Dalam sela tersebut, PMUKM melalui pelbagai cabaran dan ujian. Kita harus mengelakkan budaya menyalahkan secara semberono. Jika ia dilakukan oleh pihak yang hasad untuk mengambil kesempatan, maka sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi balasan. 

PMUKM merancang untuk menghantar kertas kerja cadangan  yuran kolej untuk dibincangkan secara kolektif oleh pentadbiran universiti. PMUKM berpendapat adalah baik sekiranya pimpinan PMUKM turut diberi ruang untuk memberikan pandangan dalam mesyuarat Senat dan LPU. Kertas kerja tersebut mengandungi justifikasi dan cadangan PMUKM tentang penyelesaian terbaik berkaitan yuran kolej kediaman.

Saudara Izuudin Pisol berkata, “Kita sedang melakukan penyelidikan supaya cadangan yang bakal kita (PMUKM) bawakan dapat memberi penyelesaian terbaik kepada semua pihak. Kami sentiasa membuka pintu perbincangan dengan semua. Kami harap mahasiswa UKM dapat merujuk terus kepada PMUKM dan dalam blog, facebook dan youtube PMUKM”.

“Bersama Mahasiswa Realisasi Varsiti”