Monday, 22 August 2011

PENYELARASAN YURAN KOLEJ: ULASAN DAN SIKAP PMUKM

0 comments

(Dipetik dari blog PMUKM 2010/2011) Beberapa perkara yang berkaitan penyelarasan yuran kolej telah menimbulkan polemik di kalangan warga UKM.

Pada masa ini, penyelarasan tersebut tidak berlaku memandangkan cadangan tersebut tidak diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti. Jadi, harga yuran kolej kediaman akan tetap pada harga sebelum ini, iaitu RM 2.50/hari (bagi asrama, pra siswazah, kecuali KKM dan KPZ)

Kekeliruan tentang pertambahan jumlah yuran kolej dalam akaun pelajar, iaitu RM 650 atau RM 770 boleh dijelaskan seperti di bawah:

1.   i.    Nilai dalam akaun tersebut adalah nilai cadangan sekiranya cadangan penyelarasan harga kolej diluluskan oleh mesyuarat LPU.
2. ii.  Pertambahan nilai dalam akaun tersebut telah berlaku sejak minggu lepas. Keputusan rasmi LPU berkaitan cadangan penyelarasan harga kolej hanya diketahui pada minggu ini. Secara ringkas, seolah-olah berlaku ‘redundancy’ dalam urusan tersebut. Dalam hal ini, ia  berkisar kepada masalah komunikasi dan teknikal.
3.   iii.  Pihak Bendahari memberi jaminan bahawa nilai tersebut akan turun semula seperti nilai asal.

Penyelarasan ini, sekiranya berlaku, akan memberi impak positif dan negatif seperti yang dinyatakan di bawah:

Impak positif

1.  -   Harga yuran kolej pelajar siswazah adalah sama dengan pelajar pra siswazah, iaitu RM 3.50/hari (asrama) dan RM 4.50/hari (pangsarama)
2.  -    Pelajar KKM dan KPZ akan menikmati penurunan harga kolej kepada harga yang sama dengan penghuni kolej lain.


Impak negatif

1.  -    Penghuni kolej lain (pra siswazah) selain akan KKM dan KPZ akan mengalami kenaikan harga kepada RM 3.50/hari (asrama)


Maklumat tentang harga sebenar yuran penginapan kolej (Kampus Bangi) dan bagaimana ia ditolak dari akaun pelajar boleh diketahui berdasarkan jadual dan huraian di bawah:

Kolej
Jenis penginapan
Harga/hari
Tempoh penginapan
Yuran elektrik  (RM)
Bayaran wi-fi (RM)
Jumlah(RM)
Kampus Bangi (Selain KIZ, KKM & KPZ)
Asrama
2.50
18 minggu
25
45
485
Flatlet
3.70
18 minggu
25
45
636
KIZ
2 orang/bilik
3.00
18 minggu
25
45
548
Seorang/bilik
5.00
18 minggu
25
45
800
KKM & KPZ
2 orang/bilik
4.50
18 minggu
25
45
737
seorang/bilik
5.00
18 minggu
25
45
800
(Sumber: Jabatan Bendahari UKM)

Pada waktu ini (selepas dibetulkan semula oleh Bendahari dan PTM), walaupun seseorang pelajar mungkin menginap di bilik yang berbeza, yuran keseluruhan kolej pelajar DALAM AKAUN adalah RM 485 (asrama, selain KPZ dan KKM) manakala yuran keseluruhan kolej pelajar DALAM AKAUN untuk KKM dan KPZ adalah RM 737. Kedua-dua jumlah tersebut akan ditolak secara‘lump sum’ dari akaun mereka. Dalam erti kata lain, pelajar yang menginap di flatlet atau bilik seorang akan mendapati jumlah yang ditolak dalam akaun mereka hanyalah RM 485 atau RM 737 dan baki tersebut (RM 151 atau RM 63) perlu dibayar secara manual oleh pelajar tersebut.

                Walau bagaimanapun, nilai yuran penginapan kolej di KTSN dan KTDI berbeza berdasarkan jenis bilik yang dihuni. Apa yang pasti, ia mengikut harga asal dan berjumlah RM 485 (KTSN) dan RM 786 (KTDI, jika waktu pengajian adalah 22 minggu).

Berdasarkan fakta di atas, PMUKM berpandangan:

1.                   Dalam hal yang berkaitan pelajar, pentadbiran universiti harus bersikap terbuka dan membuka ruang perbincangan yang bermakna dengan PMUKM. Hal ini selari dengan perakuan Naib Canselor bahawa golongan pelajar adalah aset yang paling berharga bagi universiti. Sejajar dengan amanah dipikul oleh PMUKM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa UKM, semua pihak harus bersikap terbuka dan matang. Kepimpinan mahasiswa tidak harus ‘dipukul ratakan’ seperti kepimpinan sekolah. Bahkan golongan ini perlu diraikan peranan dan kehadiran mereka dalam perbincangan-perbincangan universiti berkaitan polisi, perlaksanaan visi dan misi UKM serta kebajikan mahasiswa. Adalah malang sekiranya kepimpinan mahasiswa dianggap oleh sesetengah pihak sekadar pelaksana program (AJK teknikal? Hihi) saja, tanpa menyedari potensi besar yang ada.

2.                   PMUKM menerima dengan baik keputusan LPU. Hal ini tidak bermaksud PMUKM tidak memperjuangkan penurunan harga kolej untuk penghuni siswazah, KKM dan KPZ. Secara ideal, harga penginapan kolej selain KKM & KPZ yang sedia ada  dan penurunan harga yuran penginapan di KKM dan KPZ beserta pelajar siswazah tempatan adalah yang terbaik.

3.                   PMUKM komited untuk memperjuangkan penurunan harga kolej untuk pelajar siswazah tempatan dan penghuni KKM dan KPZ. KKM sekarang telah dihakmiliki oleh UKM. Seharusnya, secara kasar, yuran kolej KKM boleh diturunkan. Pada masa yang sama, PMUKM menyatakan kerbersamaan dengan pentadbiran universiti untuk mengambil alih KPZ demi kebaikan mahasiswa UKM

4.          Sesetengah kolej (sila baca: KKM dan KPZ) mengalami kadar yuran penginapan kolej yang lebih tinggi.Perkara ini bukanlah diminta sendiri oleh mereka, tetapi atas beberapa faktor yang lebih diketahui pada peringkat pentadbiran univerisiti, menyebabkan ada sebahagian mahasiswa terpaksa menanggung beban yang lebih berbanding mahasiswa lain. Adalah sesuatu yang terpuji sekiranya semua mahasiswa berkongsi kesenangan dan kesusahan, jika ada, secara kolektif.

5.                   Perjuangan PMUKM untuk menurunkan harga penginapan kolej KKM dan KPZ perlu disokong secara kolektif oleh JAKSA, PMF dan persatuan-persatuan lain. Ura-ura ini telah bertahun-tahun tersebar, sedangkan PMUKM baru 6 bulan memegang tampuk kepimpinan. Sudah tentu ada beberapa perkara yang berkaitan telah berlaku sebelum kepimpinan PMUKM diangkat pada Mac lepas. Dalam sela tersebut, PMUKM melalui pelbagai cabaran dan ujian. Kita harus mengelakkan budaya menyalahkan secara semberono. Jika ia dilakukan oleh pihak yang hasad untuk mengambil kesempatan, maka sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi balasan. 

PMUKM merancang untuk menghantar kertas kerja cadangan  yuran kolej untuk dibincangkan secara kolektif oleh pentadbiran universiti. PMUKM berpendapat adalah baik sekiranya pimpinan PMUKM turut diberi ruang untuk memberikan pandangan dalam mesyuarat Senat dan LPU. Kertas kerja tersebut mengandungi justifikasi dan cadangan PMUKM tentang penyelesaian terbaik berkaitan yuran kolej kediaman.

Saudara Izuudin Pisol berkata, “Kita sedang melakukan penyelidikan supaya cadangan yang bakal kita (PMUKM) bawakan dapat memberi penyelesaian terbaik kepada semua pihak. Kami sentiasa membuka pintu perbincangan dengan semua. Kami harap mahasiswa UKM dapat merujuk terus kepada PMUKM dan dalam blog, facebook dan youtube PMUKM”.

“Bersama Mahasiswa Realisasi Varsiti”

Friday, 5 August 2011

Respon Pihak Bendahari UKM Berkaitan Harga Terbaru Yuran Kolej

0 comments
Berdasarkan respon dan permintaan pelajar pra-siswazah dan siswazah UKM, pihak PMUKM telah menemui Ketua Penolong Bendahari Kanan UKM, Tuan Haji Misro Jerut untuk mendapatkan penjelasan berhubung penyelarasan terbaru yuran penginapan kolej kediaman di Kampus UKM Bangi.

Dalam pertemuan tersebut, pihak PMUKM telah menyerahkan surat untuk meminta penjelasan kepada Bendahari UKM. Ia disampaikan oleh wakil PMUKM, Saudara Arif Misrol kepada Tuan Haji Misro Jerut

Beliau menjelaskan bahawa untuk pelajar pra-siswazah, harga yuran kolej diselaraskan pada RM 3.50/sehari, kecuali untuk Kolej Pendeta Za'ba. 

Kolej Pendeta Za'ba: Kes istimewa?


Untuk pelajar siswazah tempatan pula, secara umum tidak dapat dipastikan secara khusus. Akan tetapi, menurut beliau, harga yuran kolej untuk pelajar siswazah berkemungkinan besar lebih rendah daripada harga sebelum ini (RM7.00/hari) atau sama dengan harga yuran kolej pelajar pra-siswazah.

"Hari ini (4 Ogos 2011) Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) sedang bermesyuarat. Perihal harga terbaru yuran kolej akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Kita tengah tunggu keputusan mesyuarat dan kita akan maklumkan secara rasmi kepada PMUKM, paling cepat pada minggu hadapan", ujar beliau.

Tentang harapan pelajar siswazah tempatan supaya harga yuran kolej diturunkan dari harga dahulu, beliau menyebut, "pihak Unit Perumahan Pelajar (UPP) dan kamu pun (sila baca: PMUKM) membawakan perkara yang sama. Kita menyedari bahawa bilangan pelajar pra-siswazah semakin berkurangan (Fakta: kemasukan pelajar degree Tahun Satu sesi 2011/2012 hanya sekitar 2800 orang). Oleh sebab itu, mungkin dengan kekosongan bilik kediaman yang ada, lebih baik ia dimanfaatkan untuk kegunaan mereka yang memerlukan (pelajar siswazah) dengan harga yang berpatutan".

Wakil PMUKM, Saudara Arif Misrol berkata, "Kita akan follow-up perkara ini minggu depan. Kita juga mengharapkan mesyuarat LPU membuahkan keputusan yang diharap-harapkan oleh semua".

Wednesday, 20 July 2011

Laporan Lawatan MPP Siswazah ke FPI UKM!

0 comments
Pada 13 Julai (Rabu) yang lepas, MPP Siswazah telah mengadakan pertemuan dengan pihak pentadbiran Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM sempena lawatan ramah mesra MPP Siswazah ke seluruh fakulti di UKM. Pihak MPP Siswazah diwakili oleh Saudara Arif Misrol, Saudara Abdul Musyrif serta Saudari Noriah manakala pihak pentadbiran FPI diwakili oleh Pengarah Program Siswazah, Prof Madya Dr. Zainab, Penolong Pendaftar FPI, Puan Raznita Dato’ Abdul Razak serta 2 orang Pembantu Tadbir, Puan Rohimah Borhan dan Cik Sharifah




Antara agenda yang dibincangkan adalah berkenaan agenda kebajikan pelajar-pelajar siswazah FPI. Di antara isu-isu yang telah dibangkitkan adalah isu penetapan tarikh viva yang agak lambat, peluang memperolehi geran penyelidikan dan biasiswa, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di FPI, serta cadangan pemansuhan viva bagi program “Sarjana Kerja Kursus Dan Disertasi”.

Pihak fakulti menyatakan bahawa tarikh viva tersebut adalah sangat bergantung kepada kelapangan waktu pensyarah-pensyarah (pemeriksa dalam dan luar) yang terlibat dengan viva seseorang pelajar tersebut. Berkenaan dengan geran penyelidikan dan biasiswa, ianya sebenarnya ditawarkan oleh pihak CRIM bagi pelajar-pelajar yang menjalankan pengajian Phd dan Sarjana secara penyelidikan sahaja. Akan tetapi pelajar Sarjana secara Kerja Kursus Dan Disertasi juga berpeluang memperolehi ‘claim’ sebanyak maksima RM 1000 yang di sediakan oleh pihak PPS. Mengenai peluang menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi di FPI bukan berlatar belakangkan Pengajian Islam (seperti sains dan sastera), mereka menyatakan bahawa FPI akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak PPS dan Senat. Selain tu, permasalahan berkenaan cadangan pemansuhan viva bagi program Kerja Kursus Dan Disertasi, pihak FPI menyatakan bahawa pengenalan viva untuk pelajar sarjana (tesis) telah dibuat semenjak tahun 1990 atas garis panduan yang telah ditetapkan oleh PPS Pusat bertujuan bagi meningkatkan kualiti pelajar lepasan Sarjana FPI UKM. Hujah yang sama diberikan oleh  Prof Madya Dr. Zainab.

Selain itu, hal ehwal berkaitan pembangunan pelajar siswazah juga turut dibincangkan di dalam mesyuarat ini diantaranya mengenai perlaksanaan program pengantarabangsaan pelajar dan kursus-kursus skill penulisan Tesis dan Disertasi. Prof.Madya Dr. Zainab juga turut menasihatkan pelajar agar:

1. Memperkasa siri-siri seminar, sama ada dianjurkan oleh fakulti atau persatuan siswazah fakulti;
2. Berusaha meningkatkan skill penulisan bagi menghasilkan kertas penulisan yang berkualiti. seperti aplikasi perisian SPSS dan Nvivo;
3. Menghasilkan penulisan jurnal berkualiti, terutama dalam jurnal berimpak tinggi seperti ISI dan Scopus. 



Pertemuan tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada  Prof Madya Dr. Zainab oleh Saudari Noriah


Sdra Musyrif berkata, "Selepas pertemuan dengan semua urusetia-urusetia pengajian siswazah fakulti, kita bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan siswazah fakulti dan antarabangsa pula. Kita harap perkara ini boleh diselesaikan sebelum Hari Raya akan datang ini".


Pihak MPP Siswazah mengalu-alukan sebarang penambahbaikan berkaitan perjalanan MPP Siswazah UKM yang memberikan manfaat kepada semua pihak.


Akan datang: Lawatan MPP Siswazah UKM ke Urusetia Pengajian Siswazah FSSK!!!

“Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”

Wednesday, 13 July 2011

Respon Timbalan Pengarah PPS Berkaitan Kekaburan Format Gaya UKM

0 comments
Pada 11 Julai (Isnin) yang lepas, MPP Siswazah telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Akademik) Pusat Pengajian Siswazah UKM, Prof. Dr. Ismail Sahid berhubung kekaburan berkaitan format Gaya UKM.


Rajah 1.1 Prof. Dr. Ismail Sahid 
Sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~pps/pps/PPs_web/m_kakitangan.htm [13 Julai 2011]
(Mengikut Gaya UKM!)

Berikut adalah ringkasan respon beliau terhadap persoalan yang diutarakan oleh Saudara Mohd Arif Misrol, Spekar PMUKM merangkap MPP Siswazah UKM :

1.      1. Buku Gaya UKM
Setakat ini, buku Gaya UKM Edisi Semakan Kedua hanya dijual di kaunter PPS sahaja. Hal ini berbeza dengan kefahaman umum pelajar siswazah bahawa Buku Gaya UKM Edisi Semakan Kedua ini boleh diperoleh di UNIKEB dan kedai Penerbit UKM (di Canselori).

2.      2.  Web Gaya UKM
Laman web ini diselia sepenuhnya oleh PPS. Apa yang menjadi rungutan sebelum ini adalah web tersebut tidak memaparkan format Gaya UKM yang terbaru. Hal ini menimbulkan masalah kepada pelajar yang menjadikan web tersebut sebagai rujukan utama penulisan tesis mereka.

Sdra Arif dimaklumkan bahawa PPS sedang dalam proses berpindah ke laman web baru. Proses tersebut dimaklumkan memakan masa 2 – 3 minggu dari waktu pertemuan ini dilakukan.


3.    3.   Penerbitan buku Gaya UKM Edisi Semakan Kedua.
Buku ini diterbitkan oleh PPS. Dalam erti kata lain, MPP Siswazah difahamkan bahawa Penerbit UKM tidak terlibat dalam penerbitan buku ini. Penerbitan buku ini bergantung kepada perjanjian PPs dengan pihak pencetak.

Sdra Arif dipetik berkata, “Buat masa ini, dalam konteks format Gaya UKM ini, kita akan sentiasa berhubung dengan pihak PPS sehingga beberapa perkara penting yang berkaitan selesai dan dimaklumkan kepada pelajar siswazah UKM.”

“Perkara sebegini tidak harus dianggap sebagai suatu desakan yang bersifat negatif, tetapi harus dipandang sebagai kepedulian pelajar siswazah terhadap perkara yang berkaitan dengan perjalanan akademik mereka. Kami mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak untuk memastikan perjalanan akademik dan kebajikan pelajar siswazah UKM berjalan lancar dan terpelihara.”

Sebarang pengemaskinian maklumat akan dipapaprkan dalam blog ini pada masa-masa akan datang. 'Bersama mahasiswa realisasi varsiti' :-)

Tuesday, 12 July 2011

Lawatan Ramah Mesra MPP Siswazah ke Urusetia-urusetia Pengajian Siswazah Fakulti!

0 comments

MPP siswazah PMUKM akan mengadakan siri lawatan ramah mesra ke Urusetia-urusetia Pengajian Siswazah Fakulti UKM (kampus Bangi) bermula pada Rabu, 12 Julai 2011. Jadual perjalanan adalah seperti di bawah :

Rabu
FST : 8.30 pg -10.00 pg
FPI : 11 pg -12.30 tgh
FSSK : 2.30 ptg – 4.00 ptg

Khamis 
FPEND : 11.00 pg -12.30 tgh
FKAB : 2.30 ptg -4.00 ptg

Jumaat
FTSM : 8.30 pg -10.00 pg
FUU : 11.00 pg -12.00 tgh

26 Julai 2011 (selasa)
FEP : 2.30 ptg - 4.00 ptg



Lawatan ini bertujuan untuk menyediakan ruang jaringan antara Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dengan pimpinan pentadbiran fakulti, terutama yang berkaitan dengan urusan siswazah bagi mewujudkan kesefahaman yang mendalam seterusnya dapat bekerjasama dalam memartabatkan perkembangan ilmu dan pembangunan universiti

                                          
Bersama mahasiswa realisasi varsiti!


Justeru, pihak PMUKM mohon jasa baik semua sekalian untuk memberikan idea, pandangan, aduan, komentar, dan apa saja yang berkaitan untuk MPP SIswazah PMUKM bincangkan, perkenalkan, bawakan dan suarakan semasa lawatan ramah mesra tersebut. Ia boleh disalurkan ke mppsiswazah@gmail.com

Terima kasih.